Wednesday, June 11, 2008

Solat Orang-Orang Yang Tertidur Dan Telupa Boleh Di-Qadha’

Solat Orang-Orang Yang Tertidur Dan Telupa Boleh Di-Qadha’

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Barangsiapa lupa mengerjakan solat, hendaklah dia mengerjakan ketika dia teringat. Tidak ada kafarat (denda) baginya, melainkan hanya yang tersebut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/166, no. 597)

“Barangsiapa yang lupa mengerjakan solat atau tertidur sehingga tidak mengerjakan solat maka kafarat (denda) –nya adalah dengan mengerjakan solat yang tertinggal itu ketika dia teringat.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/477, no. 684)

Orang yang tertidur dihukumkan sama dengan orang yang tidak sedarkan diri selama tiga hari atau kurang. Pendapat itu telah diriwayatkan dari Ammar, ‘Imran bin Hushain, dan Samurah bin Jundab radhiyallahu ‘anhum. (Rujuk: asy-Syarhu al-al-Kabir, Ibnu Qudamah, 3/8. Juga al-Mughni, 2/50-52)

Ada pun jika masa tidak sedarkan diri tersebut melebihi had masa tersebut, tidak ada kewajiban baginya untuk meng-qadha’kan-nya. Kerana orang yang tidak sedarkan diri dalam waktu lebih dari tiga hari sama dengan orang yang tidak waras dan hilang akal. (Lihat: Majmuu’ al-Fatawa Samahatus Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baaz yang disusun oleh Abdullah ath-Tahyyar dan Syaikh Ahmad bin Abdul Aziz bin Baaz, 2/457)

Pengertian Ringkas meng-Qadha’ solat:

Melaksanakan solat yang tertinggal atas sebab lupa atau tertidur. Ia dilakukan dengan niat solat sebagaimana biasa.

Sebagimana Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam menunaikan solat subuh di luar waktunya ketika mana berada di dalam suatu perjalanan yang amat meletihkan. Solat qadha’ boleh dilakukan secara berjama’ah sebagaimana solat seperti biasa, cuma yang membezakannya adalah waktu dilaksanakannya iaitu ketika mana kita tersedar atau sebaik-sahaja kita teringat ada solat yang belum ditunaikan setelah luput waktunya yang sebenar.

Adapun solat yang dengan sengaja ditinggalkan, maka tiada qadha’ baginya. Tetapi, adalah taubat. Kerana sengaja meninggalkan solat adalah berdosa besar. Penghapus dosa, adalah taubat. Tiada dalil yang menjelaskan berkenaan solat yang sengaja ditinggalkan boleh di-qadha’.

Wallahu a’lam.

Dinukil dari: Ensiklopedi Shalat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah (Judul Asli: Shalaatul Mu’min...), Sheikh Dr. Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahthani, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, jil. 1, m/s. 176-177)

0 cOmMenTs: