Wednesday, June 11, 2008

PENUBUHAN PETRONAS DAN TUJUANNYA

PENUBUHAN PETRONAS

Tarikh Siaran: 17.08.1984

Tarikh Peristiwa: 17.08.1974

Photobucket

Pada hari ini dalam tahun 1974. Petroleum Nasional atau PETRONAS telah ditubuhkan di bawah Akta Syarikat-syarikat 1965. Kemudian pada 1 Oktober 1974, Akta Kemajuan Petroleum telah diluluskan di Parlimen. Akta ini telah meletakkan hak Petronas kepada ke semua hakmilik dan kawalan ke atas sumber petroleum negara dan menjadikan Petronas bertanggungjawab untuk mengurus sumber ini demi kepentingan negara1. Di samping itu, Akta Kemajuan Petroleum ini juga telah membentuk Majlis Penasihat Petroleum Negara yang bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan petroleum dan petrokimia. Akta ini juga memberikan kuasa kepada Petronas memproses, menapis petroleum, menghasilkan petrokimia dan memasarkan hasil-hasil tersebut seiring dengan lain-lain syarikat minyak antarabangsa.

Petronas mula menjalankan operasinya di Jabatan Perdana Menteri di Jalan Dato'Onn sebelum berpindah ke Ibu pejabatnya di Kuala Lumpur. Pengerusi dan Ketua Eksekutif pertamanya, YM Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd. Hamzah telah dilantik oleh Perdana Menteri, YAB Tun Abd. Razak bagi menerajui perbadanan ini.

Matlamat utama penubuhan Petronas boleh digariskan seperti berikut:-

1. Untuk melindungi hak kedaulatan negara dan hak serta kepentingan yang sah bagi rakyat Malaysia untuk memiliki dan memajukan sumber petrolium.

2. Untuk melaksanakan perancangan yang sempurna bagi mengusahakan hasil dan menggunakan sumber petroleum dengan cara yang teratur agar dapat memenuhi keperluan sekarang dan masa depan negara.

3. Untuk menyertai secara aktif dalam pengusaha hasilan petroleum dan memasar serta mengedarkan petroleum dan hasil petroleum.

4. Untuk memastikan yang pasaran tempatan dibekalkan dengan petroleum dan hasil petrokimia dengan harga yang berpatutan.

5. Untuk menggalakkan penyertaan rakyat tempatan dalam membuat, memasang dan membina loji dan alat perkakas untuk kegunaan industri petroleum dan dalam menyediakan perkhidmatan tambahan dan sokongan.

6. Untuk menyumbang ke arah pembangunan sektor ekonomi yang berasaskan pertanian dengan menyediakan baja nitrgjen.

7. Untuk memastikan rakyat Malaysia secara keseluruhannya menikmati faedah sepenuhnya daripada pembangunan industri petroleum negara.

Sehubungan dengan matlamat tersebut, Petronas telah menjalankan rundingan mengenai perjanjian perkongsian pengeluaran dengan syarikatsyarikat minyak dan dengan itu telah menamatkan sistem konsesi minyak. Sehingga hari ini Petronas telah menandatangani tujuh perjanjian perkongsian pengeluaran, tiga dengan Syarikat Esso dan tiap-tiap satu dengan Sarawak Shell, Sabah Shell, Carigali BP dan Elf Aquitaine.

Dengan tertubuhnya Petronas, kerajaan akan dapat menentukan bahawa rakyat dan negara ini mendapat manfaat yang besar dari kekayaan hasil bumi negara.








PETRONAS dan Industri Petroleum Malaysia, Petronas, 1984, K. L., hal. 27.

Hak Cipta Terpelihara
Arkib Negara Malaysia

0 cOmMenTs: